Sunday, 22 December 2013
Teman terbaikku..
Assalamualaikum
Alhamdulilah bersyukur ke hadrat Ilahi masih diberi nafas untuk menikmati ciptaan-Nya. Di kala luar jendela awan gelap menyelubungi, sayup angin berlalu mengingatkan aku akan teman semasa aku di sekolah rendah sehingga menengah. Ya, mereka di atas ini merupakan kawan terbaikku semasa di sekolah rendah dan menengah. Kami seolah-olah seperti tidak dapat dipisahkan waktu itu. Susah senang jatuh bangun aku merekalah yang menjadi kekuatanku. Begitu juga jikalau ada di antara kami yang mempunyai masalah, kami sekawan aku cuba membantu dan memberi sokongan. Kami umpana keluarga di sekolah. Lumrah, dalam berkawan terkadang ada pasang surutnya, kami juga pernah bergaduh pernah tidak bertegur pernah berkecil hati tetapi perkara sebegitu sebenarnya adalah suatu proses bagi kami lebih menyayangi dan mengenai antara satu sama lain. Walaupun kini, kami masing-masing telah berada pada haluan tertentu mencapai cita-cita memberi komitmen dalam kerjaya atau pelajarantetapi ukhwah kami masih utuh sehingga kini. Sesekali apabila ada masa bercuti,pasti kami akan berjumpa. Sesungguhnya, aku amat menyanjungi hunbungan ini.
Saturday, 21 December 2013
Cerpen pertamaku...
Alhamdulillah, usai menyiapkan cerpenku yang pertama yang di inspirasikan daripada separa kisah sebenar hidupku, separa imaginasi, pengalaman dan idea olehku dalam watak Sarah Alia. Pada mulanya aku agak buntu untuk memilih judul yang sesuai dengan cerpenku ini. Memandangkan aku tidak mahu menggunakan judul yang agak klise dan pembaca dapat mengagak kisahnya. Setelah berfikir dan merujuk kamus akhirnya aku memilih judul Adrenalin sebagai judul cerpenku ini. Adrenalin adalah merupakan sejenis hormon dalam tubuh manusia yang dirembeskan oleh adrenal yang akan menyebabkan rasa kecemasan. Aku memilih judul ini kerana terdapat satu babak yang menunjukkan Sarah Alia mengalami kejutan dan saat yang mencemaskan dan Sarah dapat menangani dan menjadikan saat cemas itu kepada suatu motivator dalam hidupnya.
Alhamdulillah
Assalamualaikum
Pada 19/12 yang lalu satu Majlis Penyampaian Hadiah Majlis Diskusi Novel Melayu telah di jalankan di Makmal Pengajian Melayu, PBBKKM,FSSK. Merupakan hari yang di nantikan oleh pelajar tahun dua pelajar kursus SKMM2093 Novel Melayu kerana pada majlis itu keputusan bagi poster, penganjur, esei, multimedia, dan pengerusi sesi terbaik yang di jalankan pada Majlis Diskusi Novel setiap minggu akan diumumkan pemenangnya. Berdebar-debar pelajar kursus ini menanti keputusan oleh pensyarah kami.Kejutan menyelubungi diri apabila namaku di umumkan sebagai pengerusi sesi terbaik dalam Majlis Diskusi Novel, Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana kemenangan ini tidak sekali dijangka oleh aku yang baru pertama kali diberi tanggungjawab untuk mengendalikan majlis sebagai pengerusi sesi .Dalam entriku Percubaan pertama yang lepas pernah aku memberitahu bahawa ini merupakan pengalaman pertamaku. Ternyata percubaan pertama ini telah membuahkan hasil yang tidak dijangka. Di kesempatan ini aku mengucpkan ribuan terima kasih kepada para pensyarah dan rakan rakan sekelasku atas sokongan dan pengalaman yang sangat berharga ini. Tanpa kalian mungkin aku tidak dapat mengendalikan majlis diskusi ini. Terima Kasih.
Friday, 20 December 2013
Auni Fathini
Anak kecil comel ini bernama Auni Fathini adalah anak saudara aku yang pertama dan merupakan cucu pertama bagi ibu dan ayahku. Sememangnya kami teruja dengan kehadiran anak kecil ini, mana tidaknya gelak ,tawa,kerenah nya apabila datang ke rumah pasti mencuit hati kami sekeluarga. Menambahkan lagi kasih sayang yang terpaut antara kami sekeluarga dengan kehadirannya. Semoga anak kecil ini menjadi anak yang baik dan solehah serta menyenangkan keluarga, Amin. Mak Adik sayang kamu! :*
Wednesday, 18 December 2013
Mood Peperiksaan
Assalamualaikum
Pejam celik masa berlalu dengan begitu pantas, seakan-akan tidak mahu menunggu kita. Ya, minggu ini merupakan minggu yang terakhir dalam semester 3 ini. Sungguh tidak menyedari akan pantasnya masa berlalu mencemburui manusia. Pada saat akhir inilah pelajar bertungkus lumus mengulangkaji pelajaran sepanjang kuliah semester ini bagi menduduki peperiksaan. Gementar, memang gementar. Walaupun bukan kali pertama menghadapi peperiksaan tetapi perasaan gementar itu tetap tidak dapat berjauhan. Seolah-olah sudah sebagi apabila berhadapan saat ini. Namun, perasaan itu haruslah ditangani dan disusuli dengan doa kepada Allah swt semoga kita mendapat ketenangan dan kemudahan untuk mengahadapi peperiksaan. Mudah-mudahan apa yang dipelajari sepanjang semester ini dapat dinukilkan di dalam kertas peperiksaan di medan perang. In Shaa Allah.
Untuk Sahabat
TERIMA KASIH SAHABAT
Bagaikan setiap masa dan ketika aku selalu memintamu
berada disisi ku menemaniku
setiap masa dan setiap detik
Aku tahu aku sering menyusahkanmu
namun engkau tetap menguntumkan senyuman manis
sepertinya engkau tahu betapa suramnya hatiku
dan engkau berusaha menghiburkan aku dengan senyuman itu.
Terima kasih, sahabat.
Aku begitu bersyukur
kerana engkau adalah sahabatku.
Bersama-sama
kita lalu denai kepayahan
bersama-sama
kita turuni bukit cabaran
juga, bersama-sama
kita seberangi lautan kesedihan.
Dan engkau
tidak pernah jemu dengan karenahku;
sudi menjadi pendengar di sisiku;
sudi membeli masalahku.
Terima kasih, sahabat.
Harapanku
semoga kita berjaya bersama kelak
engkau di bidang mu
dan aku dibidangku
Insyaallah sahabat
Untukmu: (IBS)